Monday, September 14, 2009

Arthur Day: Meraikan kejayaan 250 tahun syarikat Arak

Tanggal 25 September 2009, dalam suasana umat Islam sedang menyambut Aidul Fitri bakal berlaku acara sambutan ulang tahun ke 250 Arthur Guiness memulakan perniagaan arak di Dublin, Ireland.
Permulaan inilah membawa tertubuhnya empayar perniagaan arak yang terkenal sehingga kehari ini, Guinness. Sambutan besar-besaran ini akan diadakan di beberapa Bandar di dunia seperti Dublin, Lagos, Yaounde, New York, Manheim dan juga tidak ketinggalan di Subang Jaya, Malaysia.


Antara acara utama sambutan ini, akan diadakan upacara “raising the glass” sebagai tanda penghormatan kepada Arthur Guinness tepat jam 1759 waktu tempatan. Disamping itu persembahan pelbagai artis dari seluruh dunia juga diadakan, di Malaysia kumpulan hip-hop dari Amerika Syarikat Black Eye Peas, disamping kumpulan lain seperti MC Hotdog, Reshmonu dan Danny One.

Menyedari hakikat acara sambutan yang bakal diadakan Sunway Lagoon, Malaysia ini bukanlah seperti konsert-konsert lain, malah ianya jelas bermotifkan menyambut ulang tahun kewujudan sebuah jenama arak terkemuka Dewan Pemuda PAS Kelana Jaya, dengan penuh rasa tanggungjawab menyeru kepada seluruh saudara seIslam agar tidak menyertai acara yang bakal diadakan ini.

Dewan Pemuda PAS Kelana Jaya merasa kesal pihak Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan melalui Menterinya, Datuk Seri Rais Yatim telah menarik balik larangan bagi penganut agama Islam dari menyertai acara ini, kita perlu sedar Islam sangat tegas dalam larangan sebarang keterlibatan umatnya dengan arak. Bukan sahaja Islam melarang meminumnya, malah sebarang keterlibatan samada membawa, menunjukan sokongan, menjual dan sebagainya juga dilarang. Malah Allah SWT meletakkan arak ini sebaris dengan kesalahan penyembahan berhala dan berjudi sebagaimana firman Allah:

“Wahai orang-orang yang beriman ! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah (semuanya) keji (kotor)dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berolah kejayaan” (Al-Maidah : 90)

Bersempena dengan bulan Ramdhan yang mulia ini dan Syawal yang bakal menjelma Dewan Pemuda PAS Kawasan Kelana Jaya juga menyeru kepada seluruh muslimin dan muslimat agar menjauhi majlis-majlis yang mengundang laknat Allah, bukan sekadar diri sendiri menjauhinya malah memastikan suami/isteri, anak, kaum keluarga dan rakan taulan kita menjauhi perkara yang dimurkai Allah ini. Sebagaimana firman Allah SWT:

“Wahai orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluarga mu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu” (At-Tahrim: 6)

Semoga dengan keberkatan Ramadhan ini Allah kukuhkan keimanan dan komitmen kita di atas jalanNya.


No comments: