Sunday, September 27, 2009

Sekelumit Sifat Rahim

Dalam kesibukan menyambut Eidul Fitri, saya terkena keracunan makanan. Sesekali ada la muntah-muntah.


Bila melihat isteri tersayang, membantu saya di bilik air bila muntah-muntah, adik saya bertanya, “ Kak Anis tahan ye tengok orang muntah?” Dalam hati saya inilah nilai kasih.

Sekelumit sifat rahim kurniaan Allah pada manusia sudah cukup untuk mengangkat seribu nilai bebanan. Dengan sifat inilah, busuk menjadi wangi, susah menjadi senang.

Bagaimana sang ibu tekun sabar mencuci najis si anak, busuk? Pastinya busuk, tapi ianya menjadi wangi dek sifat dan nilai kasih yang terpaut pada dua insan ini (ibu dan anak).. Mampukah ibu yang sama mengutip lampin pakai buang yang ditemui ditepi jalan, penuh dengan najis tapi tanpa tahu siapa tuannya?



Bagaimana pula nanti si anak pula tiba giliran menjaga ibu yang uzur, perlu menguruskan makan – pakai si ibu, nilai kasih juga yang menghilangkan seribu kepayahan.

Nilai kasih juga menghilangkan rasa beban sepasang suami isteri dalam melayari bahtera rumah tangga. Bagaimana beban sang isteri menguruskan rumahtangga, memasak, menggosok pakaian untuk seisi keluarga, semuanya menjadi ringan dan mudah dengan nilai kasih sayang. Sanggup berjaga malam melayani kerenah si anak kecil, walaupun penat namun, nilai kasih itulah yang meringankan.

Itu yang pepatah orang muda-muda menyatakan, kalau bercinta kentot pun menjadi wangi.

Kasih Hakiki

Selepas himpunan Bersih sekitar tahun 2007, ada orang bertanya saya, dapat duit ke turun ke himpunan bersih? T-Shirt kuning ala-ala Digi dapat percuma ke?

Inilah nilai kasih dan cinta hakiki. Bila ada cinta pada Ilahi, Tuhan yang memerintahkan keadilan ditegakan, kezaliman ditumbangkan, Islam terus didaulatkan – maka ratusan ribu manusia berhimpun, kepayahan, kepedihan (air pemedih mata) semuanya terasa mudah dan ringan.

Bila kita kenal dan faham tuntutan sebagai khalifah di bumi, bila kita faham akan tuntutan Allah yang dikasihi maka perjuangan ini pastinya jadi manis dan mudah, perjalanan ratusan kilometer terasa dekat, infa’ ribuan ringgit terasa sikit, lapar juga boleh terasa kenyang dek amukan rasa cinta dan kasih.

Semoga kita dikurniakan kasih pada yang Maha Pencinta dan kasih mereka-mereka yang mengasihi-Nya.

p/s: Terima kasih mama & abah kerana membesarkanku dengan penuh kasih sayang ....

Ramadhan berlalu ...




Siapa beribadah kerana lailatulqadar
Lailatul Qadar telah berlalu
Siapa beribadah kerana Ramdhan
Ramdhan juga telah berlalu
Siapa beribadah kerana Allah
Allah pasti kekal selama-lamanya ...

Friday, September 18, 2009

Salam Lebaran

“Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Tidak ada tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar, Allah Masa Besar dan bagi Allah segala puji-pujian.”
“Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar sebesar-besarnya, Alhamdulillah (segala puji bagi Allah) sebanyak-banyaknya, Maha Suci Allah pagi dan petang.”

“Tiada tuhan melainkan Allah, kami tidak menyembah kecuali kepada-Nya, dengan ikhlas untuk agama (Islam), walaupun dibenci oleh golongan kafir.”

“Tiada tuhan melainkan Allah yang Esa yang benar janji-Nya, yang menolong hamba-Nya, yang memuliakan tentera-tentera-Nya (tentera Muslimin) dengan mengalahkan tentera Ahzab dengan keesaan-Nya.”

“Tiada tuhan melainkan Allah yang Maha Besar, Allah yang Maha Besar dan milik Allah-lah segala puji-pujian.”


Bagitulah takbir raya yang kita lafazkan sepanjang tahun, tanpa rasa jemu. Alhamdulillah kita bakal menyambut 1 Syawal esok (20 September 2009) sekali lagi.

Dalam meniti detik-detik terakhir ramadhan marilah kita muhasabah adakah kita layak untuk sama-sama meraikan "konvokesyen" universiti Ramadhan ataupun dikenali sebagai Eiul Fitri. Sekiranya Ramadhan sering kita sebut sebagai madrasah, universiti tempat pentarbiyahan yang akhirnya diharapakan lahir seorang graduan yang membawa ijazah "takwa", dan bakal diraikan pada hari raya yang bakal menjelma. Layakkah kita?

Menjelang 1 Syawal ini, marilah sama-sama kita menghayati maksud takbir yang kita lafaz saban tahun, sedar atau tidak itulah juga bait-bait kata yang junjungan mulia Nabi Muhammad SAW lafaz dalam meraikan kemenangan dalam beberapa siri peperangan. Sekiranya diihayati bait-bait akidah, membesarkan Allah dan meletakan seluruh harapan pada Allah, sebagiamana ketika para sahabt menghadapi peperangan Ahzab, pastinya umat Islam akan jauh lebih berjaya.

Dengan seluruh pergantungan diletakan pada Allah SWT, mencabut segala keyakinan dan kebergantungan pada makhluk, kita pasti boleh melangkah lebih jauh bersama Islam. Islam BOLEH!!

Semoga sambutan 1 Syawal tahun ini juga diberikan kita kekuatan untuk meninggalkan maksiat dan meningkatkan ibadah selaras dengan tarbiyah ramadhan yang telah kita lalui.

Akhirnya dalam kesempatan ini saya ingin memohon ampun dan maaf sekiranya ada sebaran kesalahan dan mengucapkan selamat hari raya Eidul Fitri. Allahuakbar!!



Salam Lebara
29 Syawal
Kg Changkat Lobak (Rumah Mertua)

Monday, September 14, 2009

Arthur Day: Meraikan kejayaan 250 tahun syarikat Arak

Tanggal 25 September 2009, dalam suasana umat Islam sedang menyambut Aidul Fitri bakal berlaku acara sambutan ulang tahun ke 250 Arthur Guiness memulakan perniagaan arak di Dublin, Ireland.
Permulaan inilah membawa tertubuhnya empayar perniagaan arak yang terkenal sehingga kehari ini, Guinness. Sambutan besar-besaran ini akan diadakan di beberapa Bandar di dunia seperti Dublin, Lagos, Yaounde, New York, Manheim dan juga tidak ketinggalan di Subang Jaya, Malaysia.


Antara acara utama sambutan ini, akan diadakan upacara “raising the glass” sebagai tanda penghormatan kepada Arthur Guinness tepat jam 1759 waktu tempatan. Disamping itu persembahan pelbagai artis dari seluruh dunia juga diadakan, di Malaysia kumpulan hip-hop dari Amerika Syarikat Black Eye Peas, disamping kumpulan lain seperti MC Hotdog, Reshmonu dan Danny One.

Menyedari hakikat acara sambutan yang bakal diadakan Sunway Lagoon, Malaysia ini bukanlah seperti konsert-konsert lain, malah ianya jelas bermotifkan menyambut ulang tahun kewujudan sebuah jenama arak terkemuka Dewan Pemuda PAS Kelana Jaya, dengan penuh rasa tanggungjawab menyeru kepada seluruh saudara seIslam agar tidak menyertai acara yang bakal diadakan ini.

Dewan Pemuda PAS Kelana Jaya merasa kesal pihak Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan melalui Menterinya, Datuk Seri Rais Yatim telah menarik balik larangan bagi penganut agama Islam dari menyertai acara ini, kita perlu sedar Islam sangat tegas dalam larangan sebarang keterlibatan umatnya dengan arak. Bukan sahaja Islam melarang meminumnya, malah sebarang keterlibatan samada membawa, menunjukan sokongan, menjual dan sebagainya juga dilarang. Malah Allah SWT meletakkan arak ini sebaris dengan kesalahan penyembahan berhala dan berjudi sebagaimana firman Allah:

“Wahai orang-orang yang beriman ! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah (semuanya) keji (kotor)dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berolah kejayaan” (Al-Maidah : 90)

Bersempena dengan bulan Ramdhan yang mulia ini dan Syawal yang bakal menjelma Dewan Pemuda PAS Kawasan Kelana Jaya juga menyeru kepada seluruh muslimin dan muslimat agar menjauhi majlis-majlis yang mengundang laknat Allah, bukan sekadar diri sendiri menjauhinya malah memastikan suami/isteri, anak, kaum keluarga dan rakan taulan kita menjauhi perkara yang dimurkai Allah ini. Sebagaimana firman Allah SWT:

“Wahai orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluarga mu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu” (At-Tahrim: 6)

Semoga dengan keberkatan Ramadhan ini Allah kukuhkan keimanan dan komitmen kita di atas jalanNya.


Friday, September 11, 2009

Doa Untuk Al-Aqsa Tercinta

Semalam sempat saya menghadiri tazkirah ringkas sebelum jumaat oleh Sheikh Mahmud Syiam seorang tokoh perjuangan warga Palestin menpertahankan al-Aqsa dan bumi palestin. Beliau pernah menjadi Imam di Masjid Al-Aqsa dan juga reaktor Universiti Gaza sebelum diusir dari Palestin.
Dalam tazkirah ringkas beliau beliau menyebut beberapa faktor penting dalam menyumbang kepada kemenangan perjuangan HAMAS di bumi Palestin, antaranya faktor keimanan dan ketakwaan yang tinggi dikalangan perjuang. Para pejuang Palestin semua telah menjadi hafiz al-Quran ketika usia muda, dan ini menjadi benteng yang kuat buat mereka.
Yang keduanya para mujahidin Palestin terus istiqamah berjuang dan tidak pernah berundur walaupun selangkah.
Dalam hal ini, tuan Sheikh menyebut para mujahidin Palestin terus teruja bila mendapat perkhabaran saudara seIslam mereka di seluruh dunia turut bersama dalam pejuangan ini. Bilamana siri-siri demonstrasi diseluruh dunia dilaporkan dan ditayang dikaca-kaca TV, dan juga sumbangan yang disampaikan selain doa-doa yang dipanjatkan.
Para mujaidin tidak sanggup mensia-siakan doa dari saudara seakidah mereka, justeru mereka terus bersemangat untuk terus berjaung sehingga datang takdir Ilahi - syahid atau menang.

Justeru saya ingin menyeru sahabat sekalian, janganlah merasa usaha kecil kita dibumi Malaysia ini tiada nilai kepada perjuangan membebaskan al-Aqsa, teruskanlah berdemonstrasi (bila diseru), teruslah menyumbang dan teruskanlah memanjatkan doa kepada Ilahi.
Khususnya dalam kesempatan 10 malam terakhir Ramadhan ini, jangan lupa untuk kalian selitkan doa untuk para mujahidin di Palestin, di Iraq,  di Afghanistan, Khasmir dan pejuang agama Allah seleruh dunia.
Moga Allah satukan hati kita dan permudahkan urusan kita.

Thursday, September 10, 2009

Sesungguhnya

SESUNGGUHNYA


Sebenarnya hati ini cinta kepada Mu
Sebenarnya diri ini rindu kepada Mu
Tapi aku tidak mengerti
Mengapa cinta masih tak hadir
Tapi aku tidak mengerti
Mengapa rindu belum berbunga

Sesungguhnya walau ku kutip
Semua permata di dasar lautan
Sesungguhnya walau ku siram
Dengan air hujan dari tujuh langit Mu
Namun cinta tak kan hadir
Namun rindu takkan ber bunga

Ku cuba menghulurkan
Sebuah hadiah kepada Mu
Tapi mungkin kerana isinya
Tidak sempurna tiada seri

Ku cuba menyiramnya
Agar tumbuh dan berbunga
Tapi mungkin kerana airnya
Tidak sesegar telaga kauthar

Sesungguhnya walau ku kutip
Semua permata di dasar lautan
Sesungguhnya walau ku siram
Dengan air hujan dari tujuh langit Mu
Namun cinta tak kan hadir
Namun rindu tak akan berbunga
Jika tidak mengharap rahmat Mu
Jika tidak menagih simpati
Pada Mu ya Allah

Tuhan hadiahkanlah kasih Mu kepadaku
Tuhan kurniakanlah rinduku kepada Mu
Moga ku tahu
Syukur ku hanyalah milik Mu

**Selamat menghidupkan sepuluh terakhir ramadhan**

Tuesday, September 08, 2009

Pewaris pejuangan ....

Salam

Pada pagi Isnin lepas saya diberi kesempatan olah Allah SWT untuk mengikuti kuliah subuh Ust Shauki Abd Rahman di Masjid Abu Bakar As-Siddiq (MABAS) SS19 Subang Jaya.

Dalam kuliah Ustaz menceritakan kepentingan institusi pendidikan "pondok" untuk dihidupkan kembali sebagai memastikan pewaris perjuangan para nabi dan anbiya dapat diteruskan. Ustaz juga menyingkap bagaiamana strategi musuh-musuh Islam untuk meuntuhkan sistem pendidikan ISlam yang ada dinegara ini bila mereka mula menjajah negara kita, mereka membuka sistem sekolah inggeris, memberikan pelbagai kelebihan kepada pelajar sekolah jurusan inggeris. Pelajar aliran Inggeris diberikan kelebihan melanjutkan pelajara keluar negeri dan bila balik mendapat jawatan dan gaji yang tinggi. Dapat beli basikal dan motosikal juga kereta.

Akhirnya masyarakat terpengaruh dan melihat belajar agama dipondok-pondok tidak memberi masa depan yang baik. Akhirnya secara perlahan-lahan banyak pondok pondok terpaksa ditutup.

Disamping itu, ustaz juga menyentuh keperluan membawa dan mendekatkan anak-anak ke masjid. Ustaz secara terus bertanya mana anak-anak kita yang berusia 7 - 8 tahun? Sedangkan pada usia itu mereka perlu dididik untuk mencintai rumah Allah, dimana mereka ketika ini (ketika kuliah sedang berlangsung)?

Saya kira kadang-kadang mungkin kita lebih selesa datang berseorangan ke masjid dengan meninggalkan anak-anak dirumah, mungkin malas nak memujuk mereka ke masjid atau merasakan bebanan bila mereka turut ke masjid. Mungkin nanti kita tidak dapat berborak panjang dimasjid, mungkin kerenah mereka diluar kawalan nanti. Ada juga kadang-kadang dikalangan kita bersikap terlalu tegas dan keras dengan generasi muda khususnya dimasjid.

Bermain, gembira, riang dan ceria itu memang sifat anak-anak, pupuk lah dengan kasih sayang, tegurlah dengan rasa cinta moga hati mereka akan terus terpaut dirumah Allah.

Kita sangat ketandusan generasi muda yang cintakan masjid, dengan pelbagai dugaan dan ujian keduaniaan hari ini, kita perlu lebih kreatif dan beralas dengan anak-anak muda agar mereka terpaut pada rumah Allah seterusny mewarisi perjuangan ini, merekalah juga yang bakal menguruskan jenazah kita nanti bila kita dijemput Allah.

Di MABAS, dalam bulan Ramadhan ini anak-anak muda ini diberikan ruang yang luas untuk menumbang tenaga bagi pelbagai aktiviti masjid, dari urusan berbuka, more dan sebagainya. InsyaAllah menjelang raya ada sedikit saguhati akan disediakan.

Saya juga rasa syukur, bila membawa anak kecil saya ke masjid walaupun kadangkala kenakalan berlari kesana-kesini, ada kariah masjid yang mendukung, meraikan dan bermain dengannya. Biarlah tertanam dalam mindanya, kawan-kawan abahnya di masjid juga menyayanginya, juga gembira dan meraikan kehadirannya.

Marilah sama-sama kita membina genrasi masjid, generasi rabbani !!!!

Sebahagian aktiviti Pemuda MABAS

Monday, September 07, 2009

Isu Arak: Macamana sebatan dibuat?

Dalam keghairahan semua pihak membincangkan persoalan hukuman sebat keatas pesalah syariah, saya kira tidak adil sekiranya kita tidak meneliti bagaimana hukuman sebat yang telah ditetapkan dalam pelaksanaan hukuman syariat di Malaysua khususnya di Pahang. Mungkin ramai yang beranggapan hukuman ini kejam khususnya keatas wanita, apa yang pasti hukuman sebat dalam Islam tidak sama dengan hukuman yang dijalankan di negara kita dalam kes-kes kesalahan sivil. Islam merupakan agama bersifat mendidik manusia pastinya tidak akan menzalimi manusia. Bersama ini perincian pelaksanaan hukuman sebat dibawah Seksyen 125 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002. (http://www2.esyariah.gov.my/)

Seksyen 125. Hukuman sebat

(1) Peruntukan seksyen ini dan seksyen 126 hendaklah terpakai apabila tertuduh dihukum sebat.

(2) Alat sebatan, tidak termasuk pemegangnya, hendaklah daripada jenis yang sama dan dibuat sama ada daripada rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter.

(3) Peruntukan yang berikut hendaklah diikuti apabila melaksanakan hukuman sebat, iaitu-
(a) sebelum hukuman itu dilaksanakan, pesalah hendaklah diperiksa oleh seorang Pegawai Perubatan Kerajaan untuk diperakui bahawa pesalah itu adalah dalam keadaan kesihatan yang baik untuk menjalani hukuman itu;

(b) jika pesalah itu sedang hamil, pelaksanaan itu hendaklah ditangguhkan sehingga tamat tempoh dua bulan selepas dia melahirkan anak atau keguguran, mengikut mana-mana yang berkenaan;

(c) hukuman hendaklah dilaksanakan di hadapan seorang Pegawai Perubatan Kerajaan di mana-mana tempat sebagaimana yang diarahkan oleh Mahkamah atau di suatu tempat yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri bagi maksud
itu;

(d) orang yang dilantik untuk melaksanakan hukuman itu hendaklah seorang yang adil dan matang;

(e) orang itu hendaklah menggunakan alat sebatan dengan kekuatan yang sederhana tanpa mengangkat tangannya melebihi kepalanya supaya tidak melukakan kulit pesalah;

(f) selepas mengenakan satu sebatan, dia hendaklah mengangkat alat sebatan itu ke atas dan tidak menariknya;

(g) sebatan boleh dikenakan ke seluruh bahagian tubuh kecuali muka, kepala, perut, dada atau bahagian-bahagian sulit;

(h) pesalah hendaklah memakai pakaian mengikut Hukum Syarak;

(i) jika pesalah itu lelaki, sebatan hendaklah dikenakan dalam keadaan dia berdiri, dan jika pesalah itu perempuan, dalam keadaan dia duduk;

(j) jika semasa pelaksanaan hukum sebat itu Pegawai Perubatan Kerajaan memperakui bahawa pesalah itu tidak lagi dapat menerima sebatan, sebatan itu hendaklah ditangguhkan sehingga Pegawai Perubatan itu memperakui bahawa pesalah itu sihat tubuhnya untuk menjalani baki hukuman itu.
(4) Dalam hal pesalah itu dihukum sebat sahaja, maka dia hendaklah diperlakukan seolah-olah dia dihukum dengan hukuman pemenjaraan sehingga hukuman itu dilaksanakan.

(5) Jika Pegawai Perubatan Kerajaan memperakui bahawa pesalah itu, oleh sebab umur tua, keuzuran atau apa-apa sebab lain tidak dapat menjalani hukuman sebat pada keseluruhannya atau sebahagiannya, maka kes itu hendaklah dirujukkan kepada Mahkamah yang boleh memerintahkan hukuman itu dilaksanakan mengikut cara yang difikirkannya munasabah.
Huraian - Umur tua ertinya telah mencapai umur lima puluh tahun atau lebih.

Walaupun hukuman ini tidak 100% menepati tuntutan Islam, namun ianya sekurang-kurangnya permulaan dan landasan permulaan yang baik. Semoga Allah memudahkan usaha kita dalam pelaksanaan undang-undang syariah ...

Thursday, September 03, 2009

Pokok



Link dibawah ini sebuah video pendek yang menarik .... merupakan motivasi yang paling tinggi untuk umat Islam khususnya dan manusia keseluruhannya secara umumnya bertani, lebih tinggi nilai motivasi dari istilah "Pertanian Satu Perniagaan".

Inilah indahnya Islam, dalam merencanakan kehidupan seorang muslim ....

Allahuakbar ....

http://15malaysia.com/films/the-tree/