Wednesday, November 04, 2009

Piala Malaysia

Pagi tadi dalam perjalanan ke pejabat sempat mendengar Radio 24, biasanya ini antara rutin pagi dalam usaha mendapat beberapa maklumat ringkas dan cepat - walau kekadang belum tentu tepat.

Namun saya tertarik dengan usaha pihak Radio 24 mempromosi pertandingan akhir Piala Malaysia yang bakal berlangsung hujung minggu ini antara Kelantan dan Negeri Sembilan. Usaha mempromosi oleh Radio 24 bukan sekadar bermula untuk perlawanan akhir ini, malah saban hari juga saya mendengar diulas tentang perlawanan-perlawanan bolasepak di Malaysia. Ini wajar diberi pujian - tahniah!!

Mungkin kita sudah bosan dengan bola sepak Malaysia, ramai yang lebih kenal pemain luar khususnya EPL (English Premier League), bosan dengan pelbagai masalah, dari campur tangan politik, masalah kewangan, rasuah dan pelbagai pekara yang menyenakkan otak.




Dalam suatu aspek saya kira, dalam usaha mengatasi sambutan hambar dari peminat tempatan usaha seperti Radio 24 ini perlu disangjung. Sambutan dingin peminat tempatan sebenarnya memberi impak langsung kepada kewangan persatuan bola sepak bila mana kehadiran ke stadium turut berkurangan. Jika dilihat sorotan tertunda oleh RTM, kelihatan penontot di stadium-stadium sangat menyedihkan.

Untuk mengatasi masalah ini, kerajaan perlu meningkatkan promosi agar minat dan tumpuan peminat tempatan kembali seperti zaman kegemilangan bola sepak Malaysia. Liga Malaysia merupakan produk, maka promosi sangat penting dalam melariskn jualan produk. Agak mengecewakan bila, kita hanya mampu menayangkan sorotan perlawanan pada waktu yang sudah tidak produktif, selepas jam 12 tengahmalam. Saya mengakui sudah ada peningkatan bila lebih banyak tayangan siaran langsung perlawanan bolasepak di kaca tv namun ianya masih boleh di baiki.

Kita boleh melihat betapa bersungguhnya EPL dipromosi, sorotan jaringan terbaik, sorotan perlawanan mingguan, temubual dengan pemain dan jurulatih, sorotan dan ulasan sebelum permainan malah ada juga sorotan jaringan terburuk ... begitulah kesungguhan mereka. Kita?

Saya juga masih ingat ketika saya di tingkatan satu, salah satu siri karton yang menjadi kegemaran ialah Kickers. Sebaik sahaja solat asar sebelum turun bersukan, kami akan berduyun-duyn ke bilik TV untuk menonton siri Kickers, macam stadium jadinya bilik TV. Siri karton dari Jepun yang menonjolkan kehebatan pasukan bola sepak. Ketika itu Jepun baru mula berjinak-jinak dengan bola sepak dan mungkin juga sebahagian  strategi untuk menganjurkan Piala Dunia 2002. Inilah usaha mereka ...

Saya kira ini sebahagian penyelesaian, bila mana kita mampu menarik kembali minat penonton untuk kembali ke stadium, pendapatan persatuan bola sepak boleh meningkat, maka dengan kewangan yang kukuh pelbagai usaha boleh dilakukan oleh persatuan bola sepak. Tiada lagi isu gaji tertunggak, isu caruman KWSP tidak berbayar dan sebagainya.

Akhirnya saya juga ucapkan tahniah pada Kerajaan Negeri Kelantan kerana mengumumkan cuti sebagai meraikan sokongan para peminat Kelantan pada pasukan bole sepak negeri Kelantan, saya kira ini juga sebahagian usaha mengembalikan minat dan sokongan peminat kepada liga tempatan.

Siapa bakal menjuarai Piala Malaysia tahun ini - tunggu ...

1 comment:

tajudin said...

Kelantan cuba lagi tahun depan OK. Players semua dasat-dasat...