Sunday, October 18, 2009

Bantulah kami...

Sebelum berpindah ke rumah yang saya duduki sekarang, antara kerisauan yang bermain difikiran ialah siapakah yang bakal saya amanahkan untuk menjaga anak-anak ketika saya dan isteri pergi bekerja. Persoalan dan kerisauan ini bermain difikiran, mana tidaknya anak kesayangan akan ditinggalkan kepada orang yang baru dikenali, dan ditinggalkan dengan kepercayaan seratus peratus.


Pelbagai persoalan bermain diminda, dari persoalan keselamatan, makanan sehinggalah ke tahap pendidikan tidak formal kepada anak-anak. Adakah mereka akan dilazimkan dengan berdoa sebelum solat, adakah pengasuh akan menunjukan tauladan soleh kepada anak-anak – sebagai contoh bertudung ketika menjemur pakaian diluar rumah. Serabut dibuatnya.

Jenuh kita cuba memprogramkan pemikiran anak-anak dengan teladan kehidupan soleh, bila ke tabika atau rumah pengasuh lain pula program yang diterapkan keminda anak-anak.

Saya kira kerisauan ini tidak pada saya seorang namun pada kebanyakan ibu bapa. Ada sahabat saya, terpaksa memasang CCTV dirumahnya kerana tidak percaya pada pembantu rumah yang menjaga anak-anak dirumah. Terpaksa memasang mata dan telingan tambahan ketika pergi bekerja.

Akhirnya saya tiba kesatu konklusi, inilah bukti kita hamba yang sangat lemah. Hamba kepada Allah yang Maha Agung. Kita tidak mampu menguruskan kehidupan secara sendirian. Kita perlukan bantuan yang Maha Agung. Sebagaimana doa yang acapkali kita panjatkan dalam zikir mathurat kita:

“ …Janganlah (Ya Allah) Engkau biarkan nasib kami ditentukan oleh diri kami sendiri, walaupun kadar sekelip mata atau kadar yang lebih pendek dari itu …”




Maka dalam kita merancang urusan seharian, samada urusan keluarga, pejabat mahupun urusan dakwah, lengkapkanlah ia dengan munajat dan permohonan kita kepada Allah tuhan yang Maha Mendengar. Moga dimudahkan-Nya segala urusan kita, khususnya perkara-perkara yang diluar kawalan yang pengetahuan kita. Setelah berusaha, bermesyuarat maka letakanlah pengharapan dan tawakal kepada yang Maha Esa.

Ya Allah bantulah hamba-Mu yang jahil ini, bantulah hamba-Mu yang lemah ini. Bantulah kami dalam mentaati dan mendekati-Mu. Amin.

1 comment:

dhuat79 said...

Aminnn