Tuesday, April 12, 2005

Kesihatan Satu Amanah

Hari Khamis lepas dalam salah satu usrah, ada la tertimbul isu berkenaan dengan menjaga kesihatan. Timbul kerisauan pasal ramai penggerak jemaah terdedah dengan pelbagai penyakit “orang kaya” – darah tinggi, sakit jantung, kencing manis dan sebagainya.

Mungkin ramai yang mengambil ringan berkenaan dengan penjagaan kesihatan. Ambil enteng dan mudah. Kesannya jemaah akan terasa kerugian bila ada kematian penggerak jemaah pada usia muda, atau sekurang-kurangnya terbatas gerakannya dan kemampuannya akibat masalah kesihatan. Akal yang cerdas datang dari badan yang cergas.

Mungkin juga tidak terasa kesihatan anugerah Allah ini suatu amanah yang perlu kita pikul dan jaga elok-elok. Sebagaimana kita yakin berjuang dan beramal dijalan Allah itu satu kewajipan maka menjaga tubuh badan dengan sebaik mungkin juga satu tuntutan dan kewajipan sebagai seorang muslim. As-syahid Hassan Al-Banna ada mengingatkan antara kewajipan seorang ahli gerakan jemaah ialah untuk segera membuat pemeriksaan kesihatan dan mengambil berat perkara yang boleh mempengaruhi kesihatan (boleh rujuk risalah ta’alim). Al-Ustaz Fathi Yakan juga ada menekankan perkara yang sama dalam kitab usrah yang sering kita baca dan bawa bersama “Apa Ertinya Saya Menganut Islam”.

Maka ana kira perkara ini perlulah sama-sama kita fikirkan bersama dan mengambil pengiktibaran. Antara perkara yang diperbincangkan didalam usrah tempoh hari berkenaan pemakanan. Agak mengerikan apabila menjadi amalan setiap kali habis program atau mesyuarat mahupun usrah, ahli jemaah menjadikan kedai mamak destinasi seterusnya, melayan roti telur atau nasi lemak bersama teh tarik. Mungkin tujuannya nak mengeratkan ukhuwah tapi tabiat pemakanan begini ana kira kurang sihat.

Satu perkara lagi berkenaan faktor rehat. Seringkali terjadi mesyuarat yang sepatutnya bermula jam 9mlm terpaksa ditunda sehingga 945mlm, akibatnya mesyuarat yang dijangka habis sekitar 11mlm akan terlajat ke 12mlm, akibatnya para petugas akan balik lewat dan kurang rehat. Pada ana tidak salah, untuk kita bertugas atau bermesyuarat sehingga lewat malam, tetapi sekiranya kelewatan kita disebabkan perkara yang boleh dielakan mengapa yang membebankan dan menyuasahkan diri atau pun sahabat yang lain. Maka perkara ketepatan masa dan disiplin ini juga merupakan antara faktor penyumbang kepada cara hidup yang kurang sihat.

Seterusnya, ana tertarik apabila beberapa minggu lepas membaca artikel yang menceritakan tentang Pak Ungku yang usianya telah menjangkau 80-an tetapi masih sihat dan bertenaga, masih mampun memberikan idea yang bernas. Antara petua yang diberikan ialah menjaga pemakanan dan sentiasa bersenam. Bagi Pak Ungku senaman adalah sesuatu kegiatan yang boleh mengeluarkan peluh, dia berpandangan golf bukanlah suatu senaman tetapi sekadar satu kaedah untuk menghabiskan wang. Persoalanya berapa kerap kita bersenam, dalam erti kata yang sebenar? Dalam dua minggu lepas ana berkesempatan mengikuti program bersama mas’ul tarbiyah PKS, Pak Mirwan di Shah Alam. Pak Mirwan menyatakan antara perkara yang wajib menjadi amalan harian ahli PKS ialah bersenam sekurang-sekurangnya 15 minit sehari. Menarik! Selain dari amalan roh dan akal mereka juga mewajibkan pembinaan fizikal.

Justeru kitorang dah memulakan inisiatif dengan mengadakan aktiviti berbasikal setiap sabtu dan ahad pagi bermula sesudah subuh sehingga sekitar 930pg.

Lain-lain perkara pada ana ialah amalan tidur selepas subuh, memang sedap dan mengasyikan namun eloklah bermujahadah sikit demi menjaga kesihatan kita.

Ana kira itu sahaja coretan ringkas hujung minggu ana, moga kita dapat sama-sama fikirkan dan memulakan langkah untuk menjaga kesihatan, pada sahabat yang sedang berjuang untuk mengurangkan berat badan, teruskan usaha anda insyaAllah muhajadah ini juga akan diganjari Allah. Selamat menjaga kesihatan!!

No comments: